fbpx

Guru mengaji ditahan cabul kanak-kanak perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BATU PAHAT – Seorang lelaki ditahan selepas didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah pusat mengaji Al-Quran di Parit Raja di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pada pukul 10.19 malam 21 Ogos di kawasan Yong Peng, Batu Pahat.

Katanya, sebelum itu pihak polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 42 tahun yang juga ayah kepada kanak-kanak berusia lapan tahun berkaitan kejadian yang berlaku pada petang hari sama.

“Menurut pengadu, anaknya yang berusia enam dan lapan tahun telah datang untuk belajar mengaji Al-Quran di pusat mengaji di Parit Raja pada petang 21 Ogos.

“Ketika sedang mengikuti kelas mengaji itu, seorang guru kelas mengaji (suspek) iaitu seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun telah membawa kanak-kanak berusia lapan itu masuk ke dalam bilik air tempat kelas mengaji tersebut dengan tidak membenarkan adiknya ikut sama,”katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulanuar lagi, setelah pengadu menemubual anaknya yang dalam keadaan trauma, kemudiannya mengaku bahawa suspek telah membawanya ke dalam bilik air tempat kelas mengaji itu dan telah melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa.

Ujarnya, susulan daripada penahanan itu, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari mulai 22 Ogos hingga 28 Ogos untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu kesalahan amang seksual fizikal atas kanak-kanak di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi (20) tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI