BEKAS penyampai radio Linda Onn mendedahkan budaya ‘membeli’ penyampai radio popular untuk menyertai stesen radio berbeza adalah sesuatu yang normal.
Bahkan budaya itu telah diamalkan ketika dia masih bergelar penyampai radio.
“Penyampai radio ini umpama pemain bola sepak. Keluar dari satu pasukan dan pasukan lain ‘beli’ atau tawarkan gaji lebih mahal.
“Samalah jika radio mahukan rating yang tinggi, pihak stesen akan menawarkan bayaran lumayan kepada penyampai radio popular untuk sertai mereka,” tutur Linda Onn.
Sambung Linda atau nama sebenarnya, Rozlindah Onn, 47, dia juga tidak ada sebarang isu atau masalah apabila penyampai radio terkenal masa kini didakwa meraih pendapat tinggi sehingga mencecah RM100,000 sebulan.
Jelas Linda, penyampai radio hari ini berbeza berbanding dahulu. Meskipun penyampai itu bukanlah asalnya orang radio, tetapi andai mampu menarik pendengar dan menaikkan rating, bayaran yang mahal adalah wajar.
“Trend hari ini penyanyi, pelakon dan pelawak juga boleh menjadi penyampai radio. Jika mereka boleh menarik perhatian orang untuk mendengar radio dan naikkan rating, apa salahnya.
“Di sini tiada isu integriti atau mereka bukan orang radio sebenar kerana seiring peredaran masa, lama-kelamaan mereka akan jadi orang radio.
“Sama seperti penyampai radio tiba-tiba jadi pelakon. Dunia hiburan kita kecil, jika itu sudah rezeki mereka tiada salahnya dan kita raikan sahaja,” kata Linda ketika ditemui di majlis Sambutan Hari Kemerdekaan dan Sanjungan Budi Lambaian Kasih, Lady Bikers baru-baru ini.
Linda yang pernah berkhidmat di beberapa stesen popular seperti Era, Sinar, Suria dan Kool FM mengakui merindui suasana kerja di konti radio.
Bagi melepaskan rasa rindu, Linda bersiaran secara langsung menerusi ‘konti’ dalam aplikasi TikTok.
“Bersiaran secara langsung dari konti peribadi menggunakan modal sendiri di TikTok sangat membantu saya melepaskan rindu. Cuma impak dan rasanya tidak sama dengan konti radio sebenar.
“Tetapi apabila saya ‘live’ ada peminat komen sudah memadai buat saya. Walaupun sampai ke hari ini masih ada yang bertanya saya dengan radio mana, saya hanya bersiaran di TikTok,” kata Linda.
Namun begitu, anak jati Johor itu tidak menolak sekiranya ada rezeki kembali berkhidmat di stesen radio pada masa depan.
“Buat masa sekarang memang saya tidak bersama mana-mana radio. Jika ada rezeki, siapa tahu esok lusa ada tawaran.
“Jika bayaran okey saya tidak akan menolak untuk kembali ke konti radio. Saya pun teringin dapat bayaran sehingga RM100,000,” seloroh Linda.
Berkongsi tentang perkembangan terkini, Linda rancak melebarkan empayar perniagaan nasi ayamnya, My Mom’s Chicken Rice.
“Insya-Allah tidak lama lagi, jenama My Mom’s Chicken Rice akan dijadikan francais dan diharapkan semua perancangan untuk menggembangkan perniagaan ini dapat berjalan lancar,” tuturnya.