KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah tidak akan bersifat terburu-buru dalam menghalusi perkara dan kandungan kertas yang mahu dibincangkan dalam Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI)
Baginda yang dilantik sebagai Pengerusi MKI berkuat kuasa 9 Mac lalu sebaliknya bertitah akan mengamalkan pendekatan yang lebih teliti dalam mempengerusikan majlis syura berkenaan.
“Tidak ada kegopohan di pihak Allah S.W.T, menurunkan wahyu demi wahyu agar manusia dapat benar-benar memahami dan menghayatinya. Oleh itu, beta akan mengambil pendirian tidak akan bersifat terburu-buru.Jika keadaan memerlukan, ahli-ahli MKI hendaklah bersedia mengadakan mesyuarat yang lebih kerap.
“Urus setia MKI hendaklah mengadakan libat urus yang meluas dengan setiap pemegang taruh sebelum sesuatu dasar diperkenalkan dan hendaklah dilengkapi dengan pelan komunikasi yang berkesan lagi komprehensif demi mengelak daripada berlakunya keadaan rumah siap pahat berbunyi,” titah baginda pada Mesyuarat MKI KE-72 di ibu negara hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, MKI adalah badan syura untuk mengusahakan penyatuan yang lebih kukuh dalam urusan hal ehwal agama Islam; menegakkan konsep ulung ‘kesatuan dalam kepelbagaian’
Titah baginda, syura merupakan pendekatan pemerintahan yang dianjurkan oleh Islam kerana syura membolehkan pemerintah mencari penyelesaian dan mencapai keputusan yang melibatkan rakyat dalam semangat muafakat dan perundingan.
“Syura membolehkan berlakunya percambahan minda dan pertukaran pendapat, berlangsung dalam suasana tertib, sopan, profesional dan berdisiplin. Syura memberikan kelebihan dan kebaikan kepada masyarakat dan kepada pihak yang bertikai pendapat untuk mencari persefahaman dan rumusan secara rasional dalam semangat saling mendengar dan saling menghormati pendapat yang berlainan.
“Melalui syura, ahli-ahli berpeluang menghalusi isu, meningkatkan persefahaman, melontarkan idea, merungkaikan permasalahan dan merumuskan penyelesaian,” titah baginda.
Sehubunga itu, baginda bertitah, ahli-ahli MKI wajar menghayati dan mempelopori semangat syura, berusaha sebaik mungkin menghargai elemen-elemen persamaan dan menjauhi sikap yang membesar-besarkan elemen-elemen perbezaan.
Titah baginda, ahli-ahli MKI perlu mengusahakan jambatan penghubung untuk mempertemukan pendirian dan tafsiran yang berbeza agar dapat dielakkan berlakunya pertelingkahan, apatah pertelingkahan secara terbuka yang bersifat konfrontasi hingga boleh menjadi punca keretakan hubungan dan pada akhirnya mengakibatkan ummah berpecah. – KOSMO! ONLINE