KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pari Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti kura-kura yang sering menyorok kepala sehingga sanggup menjual prinsip ketika berada di dalam kerajaan.
Katanya, Bersatu perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas perpecahan dalam kalangan orang Melyau pada hari ini berikutan ancaman yang berlaku ketika parti itu memerintah negara.
“Bersatu pernah berada dalam kerajaan. Jangan kita lupa, merekalah antara orang yang bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu.
“Usaha untuk menerima pakai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dibawa oleh salah seorang pimpinan mereka yang menjadi Menteri ketika itu.
“Kita tidak akan lupa walaupun dia kata Melayu mudah lupa. Jika bukan kita sebagai pemelihara keindukan Melayu bangkit menentang, nescaya konvensyen tersebut telah ditandatangani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menyifatkan Pas hanya bersandiwara di atas parti memperjuang agama selain hanya dilihat memainkan sentimen serta emosi untuk merendahkan Melayu Islam.
“PAS yang bertopengkan agama, ketika menjadi kerajaan, apa agenda Islam yang mereka bawa? RUU 355 senyap sepi seribu bahasa. Hudud bukan lagi agenda utama. Negara Islam pula entah ke mana.
“Orang Melayu perlu sedar akan perkara ini. Mereka hanya tahu memainkan sentimen dan emosi, bukannya bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Islam. Ia hanya sandiwara politik yang mengkhayalkan.
“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada seluruh umat Melayu. Janganlah terpedaya atau terpesona dengan lisan mereka yang fasih memainkan kata-kata. Kesannya besar kepada kestabilan dan keharmonian negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE