PETALING JAYA – Memang benar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen pada 21 November 2022 untuk menjadi Perdana Menteri, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, PN dan rakan-rakan Ahli Parlimen daripada parti-parti lain seramai 114 ahli menyokong Muhyiddin untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ketika itu.
“Kemudian ditambah dengan seorang lagi menjadikan 115 sokongan semuanya. Itu adalah fakta serta kebenaran yang tidak boleh disanggah dan Muhyiddin menyatakan fakta.
“Setelah menerima surat daripada Tan Sri Azhar Azizan Harun, Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, saya sebagai Setiausaha Agung PN telah pun menghantar surat pada 21 November 2022 ke pihak Istana sebelum tempoh akhir jam 2 petang, seperti yang diarahkan.
“Maka ramailah daripada kalangan ahli politik, penganalisis politik, pentafsir politik, ahli akademik, ‘influencer’, pengamal undang-undang, pihak media dan sebagainya tampil memberi pendapat tak kira sama ada tepat atau kurang tepat, sama ada tahu atau tidak tahu akan perkara sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hamzah mendakwa, semua pemimpin PN tahu fakta mengenai episod yang telah berlaku tersebut, namun tiada sekali pun dalam mana-mana mesyuarat PN cuba menghasut rakyat.
Tegas beliau, Bersatu sentiasa bersama Muhyiddin yang juga Presiden parti itu untuk meneruskan idealisme perjuangan demi masa depan Malaysia yang lebih baik.
“Kami berdiri teguh bersama presiden dalam prinsip mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Allah S.W.T akan melindungi mereka yang bercakap benar dan bersabar menghadapi dugaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE