KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memohon peruntukan tambahan untuk menjalankan proses penanaman semula sawit di kawasan ladang sedia ada menerusi Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan Oktober depan.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu bagi memastikan tiada lagi kawasan hutan diterokai bagi tujuan tanaman sawit sekali gus dapat mengekalkan 50 peratus litupan hutan negara yang kini berada di tahap 54 peratus.
“Peruntukan tambahan ini akan digunakan bagi menggantikan pokok kelapa sawit yang sudah tua untuk elakkan penerokaan tanah baharu disamping dapat bantu tingkatkan pengeluaran kelapa sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat reruai KPK sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Johari meminta semua koperasi di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) lebih proaktif dengan mengusahakan tanah terbiar menerusi penanaman semula komoditi negara itu supaya tidak berkurangan.
Katanya, langkah segera itu adalah perlu memandang hasil pengeluaran sawit ketika ini berkurangan kepada 18.5 juta tan berbanding 19.6 juta tan sejak 10 tahun lalu.
Sementara itu, kata Johari, kementeriannya juga akan memberi fokus kepada sektor penanaman getah dan koko bagi mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar. – KOSMO! ONLINE