TOKYO – Sekumpulan pekerja pembersihan profesional menemui rangka manusia semasa mereka mengemas rumah milik seorang lelaki Jepun, lapor akhbar South China Morning Post(SCMP) semalam.
Lebih mengejutkan rangka itu kemudian dikenal pasti sebagai ibu lelaki berkenaan yang hilang sejak sedekad lalu.
Menurut SCMP, penemuan ‘mengerikan’ itu berlaku di wilayah Kyoto, Jepun.
Lelaki itu mengupah sebuah syarikat pembersihan untuk membersihkan empat bilik tidur di kediaman yang dipanggil sebagai ‘rumah sampah’ selepas dia mendapat pekerjaan baharu dan mahu berpindah.
Rumah tersebut pernah didiami bersama oleh ibu bapa dan kakaknya, tetapi tiada seorang pun berminat untuk mengemas kediaman itu.
Dia tinggal bersendirian selepas ibunya ‘hilang’ kira-kira 10 tahun lalu dan bapanya meninggal dunia, manakala kakaknya berpindah ke tempat lain selepas mendapat pekerjaan.
Seramai lapan kakitangan dihantar untuk menyelesaikan tugas itu dalam masa tujuh jam tetapi mereka menemui rangka manusia di atas katil yang penuh dengan barangan dan pakaian selepas tiga jam bekerja.
Selepas diberitahu mengenai penemuan tersebut, lelaki terbabit segera menghubungi polis. Ujian forensik kemudian mengesahkan bahawa rangka itu adalam milik ibunya.
Wanita itu dipercayai meninggal dunia di dalam bilik bersendirian. Mangsa kerap meninggalkan rumah itu selama berhari-hari tanpa memberitahu sesiapa dan jarang bercakap dengan anaknya.
“Rumah itu dipenuhi sampah yang berbau busuk, jadi tiada siapa menyedari bau yang luar biasa,” kata lelaki tersebut.
Punca kematian dan sebarang impak undang-undang terhadap keluarga itu belum didedahkan.
Kerja pembersihan itu selesai Februari lalu dan menelan kos 500,000 yen (RM15,027). – AGENSI