KUALA LUMPUR – Hari ini merupakan hari ke 731 hari atau genap dua tahun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.
Menerusi hantaran terbaharu Facebook Najib Razak hari ini, banyak pertanyaan telah dilontarkan terutamanya berkenaan keadilan, belas kasihan, harapan serta janji yang telah dikotakan sebelum ini.
“731 hari tiba dan telah berlalu pergi. Hari bersilih ganti, minggu demi minggu. Kini sudah 731 hari.
“Dari senja ke subuh. Dalam kegelapan, kesepian. Menanti sinar cahaya pertama di luar jendela. Diterangi doa, ibadat dan zikir mu Ya Allah.
“Merenung bertanya. Apakah benar dunia ini ada keadilan? Apakah benar dunia ini ada belas kasihan? Bila?” soal hantaran tersebut hari ini.
Soal hantaran tersebut itu lagi, harapan demi harapan serta janji demi janji namun apakah nilainya?
“Berkata kepada diri. Di setiap kegelapan pasti ada terang cahayanya. Di setiap doa selalu akan ada jawapannya.
“Di setiap kesusahan Insya-Allah akan dipermudahkan. Menanti. Terus menanti dan berdoa,” tulisnya.
Terdahulu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.
Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun. – KOSMO! ONLINE.