fbpx

Yasin Sulaiman dipenjara seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin ketika dibawa anggota polis selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan atas kesalahan dadah terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 49, didapati bersalah atas tiga pertuduhan dihadapinya.

Keputusan itu dibuat mahkamah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin pada 29 November tahun lalu.

Pada prosiding itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan memiliki kanabis selain 10 bulan penjara kerana mengambil dadah.

Bagi kesalahan menanam 17 pokok ganja pula adalah penjara seumur hidup dan enam sebatan. Bagaimanapun kesemua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 24 Mac lalu.

Sejurus itu, penyanyi lagu ‘Kerna Dia’ dilihat sugul dengan suasana di galeri awam dipenuhi tangisan ahli keluarga termasuk anak perempuan Yasin berusia 16 tahun.

Norsharidah dalam penghakimannya berkata, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terkhilaf melepas dan membebaskan serta meletakkannya di bawah selamat dengan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh diperkenankan Sultan Selangor.

Jelasnya, persoalan yang timbul adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan dengan hanya bergantung kepada keterangan saksi pakar (SD1 – Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Ian Lloyd Anthony ) yang dikemukakan pihak pembelaan.

“Dalam kes ini, responden (Yasin) memilih berdiam diri untuk tidak mengemukakan keterangan terhadap dirinya yang tidak sempurna akal di bawah undang-undang hingga insanity.

“Justeru, beban untuk membuktikan pembelaan tidak sempurna akal masih terletak pada responden,” katanya.

Norsharidah menambah, keterangan SD1 mengesahkan bahawa responden tidak sempurna akal dari sudut perubatan semasa tangkapan namun merujuk kepada saksi-saksi pendakwaan menunjukkan Yasin memang melakukan dengan sengaja perbuatan-perbuatan jenayah (yang dipertuduhkan kepadanya).

Ujarnya, mahkamah tidak terikat dengan dapatan saksi pakar kerana peranan saksi pakar hanyalah untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

“Keterangan SD1 dan laporan psikiatri semata-mata adalah tidak mencukupi untuk menyokong pembelaan responden sebagai tidak sempurna akal dibawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan. Selain itu, tiada keterangan yang menyokong apa diperkatakan saksi itu.

“Keterangan saksi pendakwaan ketujuh(SP7 – Pakar Bioteknologi Tumbuhan, Prof Dr. S. Sreeramanan) menunjukkan responden mempunyai pengetahuan untuk membuktikan bahawa keadaan kesihatan mental (Yasin) adalah waras semasa dia ditahan oleh pegawai polis.

“Penanaman ganja yang dilakukan responden mengambil masa untuk pokok itu tubuh membesar adalah menunjukkan responden tidak berada dalam keadaan tidak waras,” katanya.

Dalam prosiding tersebut perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Mengikut pertuduhan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI