fbpx

Wanita baru bersalin didenda RM2,000 guna kad pengenalan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH (tengah) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu, Mei lalu.

IPOH – Seorang ibu tunggal yang baru empat bulan melahirkan anak didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan individu lain, Mei lalu.

Tertuduh, R. Aishah, 39, juga berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dikenakan ke atas ibu kepada tiga cahaya mata itu selepas dia membuat pengakuan bersalah di atas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu atas nama seorang wanita berusia 38 tahun di dewan bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada pukul 2.30 pagi, 6 Mei 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Peratuan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran namun wanita itu yang diwakili G. Harbhajan Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jumlah denda minimum dikenakan ke atas anak guamnya.

Menurut Harbhajan, tertuduh adalah seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak dan tidak mempunyai pendapatan tetap di mana kini bekerja sementara di sebuah pasar raya.

Mengikut fakta kes, penipuan wanita itu terbongkar selepas keputusan ujian darah mendapati kumpulan darahnya tidak sama dengan nama yang didaftar tertuduh untuk bersalin di HRPB pada 2 Mei lalu.

Berdasarkan hasil siasatan, tertuduh mengaku menggunakan kad pengenalan milik kakak iparnya supaya bayi yang dilahirkan itu dapat didaftarkan menggunakan nama abangnya sebagai bapa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI