fbpx

‘Umur 14 tahun duduk Korea seorang diri, kejar cita-cita’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LISA MANOBAL

Menjadi satu-satunya bintang K-pop paling ramai pengikut dalam akaun Instagram iaitu sebanyak 104 juta followers sudah cukup membuktikan betapa berkuasanya Lisa Manobal yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Blackpink.

Sejak membuat kemunculan bersama Blackpink pada tahun 2016, Lisa atau nama sebenarnya Pranpriya Manobal, 27,  berjaya mencuri tumpuan ramai kerana keunikan serta pesona yang ada pada dirinya. 

Dia bukanlah penyanyi yang berasal dari Korea Selatan, tetapi merupakan gadis kelahiran Thailand yang berusaha menembusi industri K-pop menerusi satu program pencarian bakat yang dibuat oleh YG Entertainment sewaktu dia berusia 13 tahun.

“Saya suka menyanyi dan menari sejak dari kecil. Mak cik saya akan daftarkan saya dalam pertandingan menyanyi dan menari di sekitar Bangkok.

Atas kesungguhan membina nama sebagai seorang penghibur sedari usia 14 tahun, Lisa kini merupakan antara bintang K-pop paling terkenal di dunia. | Kredit: Elle Magazine

“Pada tahun 2010, YG Entertainment melakukan pencarian bakat. Sebagai peminat K-pop semestinya saya sangat teruja. Selepas saya pergi uji bakat, lama juga saya tunggu panggilan. Saya ingatkan saya gagal. Tetapi selepas dua bulan mereka hubungi dan beritahu saya berjaya. 

“Bayangkan pada usia 14 tahun saya terpaksa berjauhan dengan ibu dan tinggal di Korea seorang diri. Saya tak tahu berbahasa Korea. Yang saya tahu cuma satu perkataan iaitu annyeonghaseyo (hello). Tetapi mujur ada Jennie. Dia adalah satu-satu pelatih yang tahu berbahasa Inggeris ketika itu,” katanya.

Lisa menjadi semakin selesa selepas seorang lagi ahli Blackpink iaitu Rosé diserap sebagai pelatih.

“Kami sebaya dan punya cita rasa yang sama. Kami berdua sama-sama datang dari negara lain. (Rosé berasal dari Australia)  Jadi disebabkan itu kami agak rapat,” ujarnya. 

Cipta rekod

Setiap seorang daripada ahli Blackpink punya lagu solo sendiri. Bermula dengan Jennie, Rosé dan kemudian Lisa. Debut Lisa menerusi single solo pertamanya iaitu Lalisa bukan sahaja mencetuskan fenomena malah telah mencipta rekod tersendiri. 

Album single Lalisa telah meraih Guinness World Record sebagai album solo artis K-pop pertama berjaya mencapai 1 bilion strim dalam Spotify.  Lisa juga menjadi artis solo pertama yang berjaya menjual album fizikal tertinggi dalam tempoh seminggu iaitu sebanyak 736,000 di Korea Selatan sebelum rekodnya dipintas oleh Jisoo. 

Lisa kini muncul dengan terbaharu berjudul New Woman (kolaborasi dengan Rosalia).

Video muzik (MV) Lalisa juga memecah rekod YouTube menjadi MV artis solo yang paling banyak ditonton dalam masa 24 jam sekali gus memintas rekod yang pernah dicipta Taylor Swift. 

Menerusi lagu Lalisa juga Lisa berjaya menjadi artis solo K-pop pertama yang memenangi anugerah MTV Video Music Awards edisi Amerika Syarikat dan Eropah. 

Terbaharu, Lisa melancarkan single solo berjudul Rockstar dan New Woman (kolaborasi bersama Rosalia) di bawah syarikatnya sendiri Lloud Co. 

Menurut Lisa, dia puas kerana dapat berkarya dengan bebas.

“Apa yang saya belajar dari pengalaman  lalu adalah tentang diri sendiri. Apa yang saya mahukan dan apa yang saya fikirkan. Apa yang saya suka dan apa yang saya tak suka.

“Sangat penting untuk anda tentukan apa yang anda mahukan terutamanya dalam perkara yang melibatkan kreativiti,” kongsinya. 

Debut dalam bidang lakonan

Selepas Jennie dan Ji Soo mempamerkan bakat mereka dalam bidang lakonan, kini tiba giliran Lisa pula apabila dia dipilih menjadi salah seorang pelakon drama bersiri popular terbitan HBO, The White Lotus musim ketiga.

Akui Lisa, dia menangis sewaktu diberitahu terpilih untuk membintangi siri tersebut.

“Saya menangis! Ketika itu saya berada bersama teman-teman, ibu dan teman-teman ibu saya. Saya tidak memberitahu mereka saya telah pergi uji bakat untuk membintangi siri tersebut. 

“Saya sangat teruja dan gementar dalam masa yang sama memandangkan ini adalah projek lakonan saya yang pertama. 

Mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Lisa bakal debut dengan drama berjudul The White Lotus yang menjalani penggambaran di negara kelahirannya, Thailand.

“Apa yang lebih istimewa apabila  drama ini menjalani penggambaran di sekitar Thailand.

“Jadi saya dapat lepaskan rindu pada tanah air tercinta dalam masa yang sama dapat menjamah makanan tradisi Thailand setiap hari selain berada dekat dengan ibu,” katanya. 

Pengaruh dan kejelitaan wajahnya turut menambat hati jenama-jenama gergasi antarabangsa untuk menjadikannya sebagai wajah wakilan mereka termasuklah Celine, MAC, Bvlgari dan yang terbaru Louis Vuitton. 

Gara-gara  video muzik Lalisa, jualan pakaian tradisional Thailand melonjak sehingga Lisa mendapat pujian daripada Perdana Menteri Thailand ketika itu iaitu Prayut Chan-O-Cha kerana berjaya mempromosikan budaya Thailand.

Pada 2023, Lisa telah diberi penghormatan oleh Kementerian Kebudayaan Thailand dengan Anugerah Wattanakunathorn di atas impak dan peranannya dalam mempromosikan budaya Thailand ke mata dunia sekali gus meningkatkan nilai ekonomi negara itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI