KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melakukan sesi ‘walkabout’ di Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Pavilion KKDW di WTCKL selama empat hari bermula hari ini tersebut diadakan bersempena Program Eksplorasi TVET ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ anjuran kementerian berkenaan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan replika cek Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) kepada tiga usahawan pada sesi ‘walkabout’ berkenaan.
Skim tersebut bertujuan membangunkan usahawan Bumiputera luar bandar dalam semua bidang ekonomi yang berdaya maju dan dibenarkan oleh undang-undang.
Sementara itu, KKDW dalam satu kenyataan berkata, Pavilion KKDW di WTCKL antara lain menawarkan gerbang maklumat teknousahawan dengan khidmat konsultasi usahawan pemula, geran keusahawanan dan pameran pemain industri TVET.
Para pengunjung juga berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan konsultasi berkaitan pembiayaan dan geran keusahawanan secara langsung daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bahagian Pembangunan Usahawan Desa, KKDW serta Rural Capital Berhad.
“Para pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat dan aspirasi berkaitan bidang usahawan TVET yang diterokai pemain industri serta potensi laluan bidang tersebut,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE