fbpx

Tidak jadi bercuti ke London, wang tempahan masuk ‘poket’ bekas MB Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan (dua dari kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, sejumlah RM222,811.95 dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man selepas beliau membatalkan tempahan pakej percutian keluarga ke London, United Kingdom yang telah dibayar oleh kerajaan negeri pada 2016.

Abdul Rahim Halim, 47, berkata, kerajaan negeri meluluskan pembayaran berjumlah RM253,195.40 kepada syarikat pelancongan Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. untuk tempoh percutian dan perjalanan ke luar negara di antara 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017.

Beliau yang ketika itu pengurus jualan di syarikat berkenaan berkata, selepas Azlan membatalkan tempahan percutian, sebanyak RM222,8111.95 dipulangkan dan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya melalui cek.

Menurut saksi pendakwaan ketujuh (SP7), jumlah itu merupakan baki selepas ditolak caj perkhidmatan sebanyak 12 peratus.

“Percutian Menteri Besar Perlis pada tahun 2016 tidak berlaku, tetapi wang telah dipulangkan ke dalam akaun peribadi atas arahan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Herwadey Hashim,” ujar beliau yang kini pengarah Corporate Travel Advisor Sdn. Bhd.

Abdul Rahim berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI