fbpx

Terima habuan sehingga RM2,500 bawa masuk warga asing guna ‘kaunter khas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian penguat kuasa yang ditahan reman oleh SPRM di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Penguat kuasa di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini dipercayai menerima bayaran RM500 hingga RM2,500 bagi membawa masuk warga asing menggunakan ‘counter setting’ atau laluan kaunter khas.

Menurut sumber, risikan mendapati bayaran rasuah kepada penguat kuasa yang menjadi ‘tali barut’ sindiket tersebut berbeza mengikut kewarganegaraan.

“Bayaran rasuah paling rendah adalah RM500 bagi warga Uzbekistan dan paling tinggi RM2,500 bagi warga Bangladesh.

“Bayaran juga berbeza bagi kumpulan warga asing dari beberapa negara seperti Indonesia, China, Vietnam, Pakistan, India, Myanmar dan Yemen,” katanya.

Menurut sumber, bagi mengelakkan aktiviti haram mereka dikesan, penguat kuasa dan sindiket itu menggunakan beberapa kod nama khas seperti School boy, Salak, Limau, Laici, Karpet, Kicap, Roti canai, Junta dan Ayam.

Jelasnya, kod tersebut merujuk kepada kewarganegaraan warga asing yang akan masuk ke negara ini bagi urusan di laluan kaunter khas yang telah diatur.

Mereka turut menggunakan kod sulit ‘lembu’ yang merujuk kepada pembayaran wang rasuah daripada sindiket.

Bagi kod ‘durian’, ia merujuk kepada upah pegawai penguat kuasa di Terminal 1 dan 2 yang akan bertindak melepaskan kumpulan warga asing berkenaan.

“Menerusi modus operandi ini, pegawai penguat kuasa di kedua-dua terminal berkenaan akan menerima senarai nama serta gambar pasport kumpulan warga asing yang akan tiba ke negara ini menerusi aplikasi Whatsapp daripada sindiket.

“Sebaik kumpulan warga asing itu tiba, mereka akan diarahkan untuk pergi ke kaunter tertentu bagi tujuan pelepasan masuk dan diberikan cop menetap selama 30 hari atau cop terbuka untuk menetap selama tujuh hari.

“Selepas itu, kumpulan warga asing berkenaan akan dibenarkan keluar dan akan diambil oleh ejen daripada kumpulan sindiket berkenaan untuk dibawa menggunakan kenderaan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Menurut sumber, sebaik urusan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan selesai, sindiket akan membuat bayaran wang rasuah secara tunai atau pindahan ke dalam akaun perbankan pegawai penguat kuasa terlibat atau ke akaun milik proksi atau syarikat tertentu dalam tempoh satu hingga dua hari.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan operasi sedang dijalankan di KLIA 1 dan KLIA 2.

Operasi itu berhubung isu kemasukan warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’ atau laluan kaunter khas serta tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan-tangkapan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI