CORAK permainan agresif yang direncana Svay Rieng FC berjaya memerangkap Terengganu FC (TFC) untuk meraih kemenangan berharga 3-2 dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab Asean (ACC) malam tadi.
Pengendali Svay Rieng, Jose Munoz, berkata, percaturan itu menjadi resepi pasukannya yang juga juara bertahan Liga Kemboja mengaibkan TFC di hadapan lebih 5,000 penonton skuad Sang Penyu.
Bekas jurulatih skuad remaja Barcelona it berkata, anak buahnya menunjukkan corak permainan lebih tersusun dan menarik selain berhak untuk menang dengan jaringan lebih besar.
“Pemain-pemain saya beraksi cemerlang terutama babak pertama dan mendominasi penguasaan bola sejak awal permainan sentiasa menjadi strategi kami dalam setiap perlawanan.
“Dengan deretan peluang terhidang dalam tempoh 90 minit, kami seharusnya menang selesa namun palang dan ketangkasan penjaga gol tuan rumah menjadi penghalang,” katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, pemain kelahiran Brazil, Gabriel Silva, Pablo Augusto dan Christian Roque menjadi duri dalam daging buat TFC apabila sering kali mencemaskan tuan rumah.
Munoz berkata, beliau menjangkakan TFC akan bangkit selepas rehat namun ia tidak berlaku disebabkan kualiti permainan anaknya yang lebih baik. – KOSMO! ONLINE