fbpx

Suspens luar biasa, tak cukup nafas tonton Alien: Romulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Alien: Romulus diadun dengan alur cerita yang sedikit slow-burn namun mencanak naik selepas Act 1.

Kalau ada satu pernyataan menggambarkan betapa berbaloinya kunjungan penulis ke pawagam  menonton filem Alien: Romulus, jawapannya adalah karya garapan Fede Álvarez kali ini umpamanya tidak membazirkan waima sesen pun wang yang dilabur.

Alien: Romulus membawa penonton semula ke era filem Alien awal-awal dahulu yang mempunyai naratif cemerlang, terjemahan karakter membekas, alien atau makhluk asing yang menjadi igauan sampai ke malam.

Berdurasi 1 jam 59 minit, Alien: Romulus terkandung jalan cerita yang cukup ampuh walaupun pada mulanya ada sedikit slow-burner. Namun, selepas naratif alien itu dipamerkan kepada audiens, segala-galanya berubah.

Buat penulis secara peribadi, Alien: Romulus adalah sebuah filem yang paling membuat diri tak cukup nafas dan terkemut-kemut di panggung wayang disebabkan unsur suspens yang dibentangkan.

DNA Don’t Breathe

Kalau tidak keterlaluan, rasa macam ada elemen filem Don’t Breathe dalam Alien: Romulus yang membuatkan penonton tak senang duduk sepanjang perjalanan filem.

Babak ketika pemain atau watak utama, Rain (lakonan Cailee Spaeny) dan manusia android bernama Andy ketika berdepan dengan xenomorph merupakan antara highlight terpenting dalam filem ini.

Watak utama bernama Rain yang dimainkan aktres Cailee Spaeny dalam Alien: Romulus cukup meninggalkan kesan kepada penonton. 

Ketika semuanya seperti jalan buntu, Rain menggunakan segala keringat dan kudrat yang ada untuk menewaskan xenomorph namun pada masa sama, dia perlu sentiasa berjaga-jaga kerana darah alien sangat berasid dan mampu meranapkan keseluruhan kapal angkasa.

Hats off buat Cailee yang berjaya menterjemahkan watak Rain dengan sempurna. Entah mengapa, melihat Cailee beraksi dalam Alien: Romulus membuatkan penulis teringat akan pesona Jeniffer Lawrence. Cantik dan faham tugasan sebagai teraju utama dalam filem. 

Dalam pada itu, watak Andy yang dijayakan David Jonssons juga tidak langsung mengecewakan. Pelakon kulit hitam itu berjaya menghidupkan karakter orang paling kanan buat Rain.

Di mana-mana dan tak kira apa jua keadaan, Andy sentiasa berkhidmat untuk seorang wanita iaitu Rain dan itu dilunaskan tanpa secebis rasa sangsi walaupun dirinya bukanlah manusia ‘tulen’ seperti orang lain.

Selain jalan cerita yang meninggalkan suspens tersendiri, Alien: Romulus turut diperkuat dengan skor, sinematografi dan kesan khas (VFX) cemerlang.

Dari segi teknikal, penulis sangat kagum dengan sinematografi, kesan khas (VFX) dan skor yang diadun dalam filem ini. Keseluruhan latar tempat adalah di angkasa lepas dan semestinya, VFX yang cemerlang dicernakan untuk urusan tersebut.

Nostalgia

Sebagai antara penggemar francais filem Alien, karya kali ini memberi homage atau keadilan buat filem-filem terdahulu (terutama yang paling awal).

Sebagai bukti, watak Rook, saintis android yang ‘terbengkalai’ dalam kapal Romulus disuarakan oleh Daniel Betts. Fizikalnya diterjemahkan serupa seperti mendiang Ian Holm. 

Secara keseluruhannya, buat kalian yang rindukan DNA filem Alien yang awal-awal dahulu, Alien: Romulus adalah jawapannya! Markah cemerlang tertinggi buat filem ini!

Alien: Romulus kini merupakan antara filem paling laris yang menjadi pilihan ramai peminat sinematik seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI