KUCHING – Jurulatih menembak Pahang, Elena Sotnik bertegas tidak akan mungkir janji dan sudah sedia lunaskan ‘hutang’ kepada Pahang untuk membotakkan kepala selepas negeri itu muncul juara keseluruhan acara menembak di Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Pahang nyata sukar digugat apabila meraih 12 daripada 24 pingat yang dipertandingkan dan Sotnik menjelaskan dia hanya akan ‘cukur kepala’ selepas pulang ke Kuantan.
“Semua 12 emas yang kami dapat adalah kejutan dan saya katakan jika dapat capai, saya akan botakkan kepala. Jadinya, saya mesti buat ini (janji).
“Jika saya janji saya mesti buat. Balik Kuantan saya akan botakkan kepala,” katanya.
Jurulatih berusia 62 tahun itu menjadi kunci utama kepada kejayaan Cheah Zen Hong yang memenangi tujuh pingat emas sekaligus dinobatkan sebagai penembak lelaki nombor satu di temasya Sukma kali ini.
Zen Hong meraih emas dalam kategori Pistol 25 meter (m), 10m Air Pistol individu dan berpasukan serta raih kejayaan sama dalam saingan 25m Pistol Standard.
Pada hari terakhir acara menembak kelmarin, Zen Hong juga bergandingan dengan Wan Nur Afiqah Wan Mohd Haneef meraih pingat emas dalam kategori 10m Air Pistol campuran, menewaskan rakan sepasukan, Muhammad Zainal Azim Ahmad Mahmud dan Damia Hani Mohamad Sakran 16-4.
Secara keseluruhan Pahang memenangi 12 emas, lima perak dan empat gangsa. – KOSMO! ONLINE