PETALING JAYA – Didakwa menghina suku kaum Orang Asli dengan menggunakan perkataan jakun, pelakon Izara Aishah tampil mempertahankan diri menegaskan terma tersebut digunakan bagi menunjukkan ekspresi terhadap sesuatu perkara.
Sedar menerima kecaman hebat, Izara atau Izara Aishah Hisham, 31, memberitahu, dia bersedia untuk tidak akan menggunakan lagi perkataan tersebut walaupun telah diguna pakai oleh banyak pihak lain sebelum ini.
“Ayat digunakan tiada kena mengena (kutuk Orang Asli). Perkataan tersebut merupakan ekspresi.
“Beritahu saya sekiranya tidak boleh diguna pakai lagi kerana selama ini masih ramai lagi orang yang menggunakan perkataan tersebut untuk ekspresi dalam memberi pandangan.
“Ada orang kata ‘jakun’ berenti seronok dan bagi saya kedua-duanya sama maksud. Ramai yang tidak tahu, jadi sila kongsi,” katanya menerusi aplikasi X baru-baru ini.
Perkara tersebut diluahkan Izara selepas seorang individu menganggapnya mengutuk suku kaum orang Asli kerana menggunakan perkataan jakun.
Bagaimanapun, ada segelintir individu berpihak pada pelakon filem Pilot Cafe itu dengan memaklumkan penggunaan perkataan tersebut digunakan secara meluas sebelum ini tanpa merujuk kepada suku kaum tertentu
“Saya orang Johor elok sahaja dengan orang kampung cakap jakun. Bila Izara guna, kena kecam pula.
“Jakun kalau di Pekan, Pahang kami guna apabila kita tidak pernah nampak atau pertama kali melihat sesuatu benda,” kata netizen yang menyokongnya.
Dalam masa sama, ibu kepada dua orang anak itu turut berkongsi satu tangkap layar Kamus Dewan Bahasa mengenai perkataan jakun yang membawa maksud hairan atau pelik.
Terdahulu, perbalahan tersebut bermula apabila Izara lantang menyatakan tujuan kedatangan warga Palestin ke Malaysia hanya untuk dirawat.
Tidak hanya itu, Izara didakwa bersikap rasis terhadap orang Rohingya susulan ciapannya yang meminta tidak membandingkan antara warga Rohingya dan Palestin.
Dalam perbualan tersebut, Izara menggunakan perkataan jakun sehingga mengundang kecaman hebat netizen. – KOSMO! ONLINE