SUNGAI PETANI – Seorang anggota polis lelaki berusia 46 tahun ditemui meninggal dunia dalam kuarters Pondok Polis Sungai Lalang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian disedari selepas anggota berpangkat sarjan sokongan itu tidak hadir ketika pemeriksaan panggil nama (roll call) dilakukan ketua polis balai (KPB) pada pukul 3 petang.
Kata beliau, berdasarkan siasatan awal, anggota polis terbabit dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui.
“Anggota terbabit berkhidmat selama 23 tahun dan tinggal seorang diri di kuarters tersebut.
“Mangsa yang berstatus duda menghidap penyakit kencing manis dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan mayat anggota keselamatan itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE