KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan.
“Saya akan laksanakan (perbincangan) bersama Kementerian Komunikasi, tetapi akta itu akan saya bawa ke Parlimen Oktober ini.
“Namun, pelaksanaan dan penguatkuasaan akta itu akan dilaksanakan di bawah Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, RUU itu diperhalusi oleh Azalina dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan MCMC.
Kata Fahmi, RUU itu selaras hasrat kerajaan untuk melesenkan platform media sosial sebagai usaha mengatasi masalah yang berlaku membabitkan platform dalam talian. – KOSMO! ONLINE