LONDON – Kebakaran sebuah rumah di bandar Bradford, England yang dipercayai akibat perbuatan khianat telah meragut nyawa seorang wanita dan tiga kanak-kanak, lapor akhbar Metro UK semalam.
Polis dikerah ke tempat kejadian di Westbury Road, Bradford, sekitar pukul 2.07 pagi (waktu tempatan).
Mangsa terbunuh berusia 29 tahun dikenali sebagai Bryonie Gawith bersama tiga anaknya termasuk Aubree Birtle yang berumur 22 bulan.
“Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan di tempat kejadian kerana disyaki membunuh. Dia dibawa ke hospital berdekatan selepas mengalami kecederaan,” kata polis.
Jiran mangsa memberitahu laman berita Telegraph & Argus: “Kediaman itu mengeluarkan asap tebal ke ruang udara dan memenuhi seluruh kawasan.Suasana di lokasi kejadian berkabus dan sangat menakutkan.”
Seorang lagi penduduk tempatan melaporkan mendengar bunyi sistem penggera kebakaran semasa kejadian dan melihat lampu biru berkelip-kelip.
Orang ramai menyifatkan kejadian itu sebagai ‘menyedihkan’ dan ‘mengerikan’.
Ketua detektif, Inspektor Stacey Atkinson berkata: “Ini adalah kejadian dahsyat di mana tiga kanak-kanak dan seorang wanita hilang nyawa.
“Siasatan awal menunjukkan kebakaran dimulakan dengan sengaja dan kami telah menahan suspek,” katanya.
Polis masih menjalankan siasatan berhubung kebakaran itu. – AGENSI