LANGKAWI – Ribuan siput kabung terdampar di sepanjang pesisiran Pantai Chenang, di sini berikutan fenomena air pasang besar dan ombak kuat sejak kelmarin.
Tinjauan di lokasi mendapati orang ramai mengambil kesempatan mengutip siput tersebut untuk dimasak.
Seorang penduduk, Mahani Ibrahim, 45, berkata, siput itu biasanya terdampar di pantai pada musim ribut.
“Biasanya ribut ini berlaku ketika musim air pasang besar ketika bulan penuh,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Osman Ali, 64, memberitahu, siput itu selamat untuk dimakan walaupun ada penduduk yang takut untuk menjamahnya.
“Siput ini perlu dibersihkan betul-betul, kalau tidak sakit perut, sama saja macam kita makan kerang. Biasanya saya buat masak serai, atau direbus kosong dan dimakan dengan nasi dan sambal belacan,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Temonyong yang tidak jauh dari Pantai Chenang, Syafiq Aziz, 27, pula berkata, fenomena ini biasanya berlaku setiap tahun.
“Kalau dulu banyak orang terkejut sebab mungkin mereka orang luar. Tetapi ini perkara biasa yang terjadi selepas ribut kuat dan air surut dan biasanya pekerja pembersihan akan membersihkan siput ini atau hanyutkan semula apabila air laut kembali pasang,” katanya.
Dalam pada itu, Pusat Hidrografi Nasional mengeluarkan ramalan air pasang besar selama empat hari bermula semalam. Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Langkawi, Kapten Khairul Afzan Md Yasin berkata, fenomena itu akan menyebabkan paras ombak tinggi mencecah tiga meter. – KOSMO! ONLINE