WELLINGTON – Sebuah gunung berapi menghamburkan asap dan abu tebal yang memaksa sejumlah penerbangan di New Zealand dibatalkan hari ini, manakala saintis-saintis memberi amaran bahawa bencana itu mungkin berterusan selama ‘beberapa minggu atau bulan’.
Letusan itu berlaku pada gunung berapi Pulau Putih yang pernah meletus pada 2019 dan membunuh 22 orang.
Pulau Putih pernah popular dalam kalangan pelancong dan terletak sekitar 50 kilometer di luar pantai Pulau Utara New Zealand serta 200 kilometer dari Auckland iaitu bandar terbesar di negara berkenaan.
Syarikat penerbangan nasional, Air New Zealand menyatakan, sebanyak 10 penerbangan dibatalkan awal hari ini selepas abu gunung berapi berada di laluan penerbangan.
Dalam perkembangan terkini, seorang jurucakap Air New Zealand memberitahu AFP bahawa penerbangan telah disambung semula selepas abu di sekeliling ruang udara telah hilang.
Imej satelit menunjukkan ‘aktiviti letusan kecil’ yang bermula awal bulan ini, kata institut Sains GNS dalam buletin pemantauannya.
Mereka percaya perkembangan itu adalah sebahagian daripada ‘kitaran letusan biasa’ yang direkodkan di Pulau Putih.
“Aktiviti ini berkemungkinan berterusan untuk satu waktu tertentu, mungkin berminggu-minggu hingga beberapa bulan,” kata mereka. – AFP