fbpx

Puad cabar Muhyiddin panggil MP bukan PN sahkan ketulenan SD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Puad (kiri) dan Muhyiddin.

PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dicabar untuk memanggil Ahli Parlimen (MP) bukan PN untuk mengesahkan Akaun Berkanun (SD) yang dikemukakan adalah tulen.

Perkara itu dicabar oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mohd. Puad berkata, bukti SD 114 Ahli Parlimen yang diserahkan kepada polis adalah tidak memadai, malah memerlukan pengakuan lisan secara terbuka oleh MP bukan daripada PN itu.

“Itu cara membuktikan 114 SD tersebut tulen. Muhyiddin dicabar panggil Ahli Parlimen bukan dari PN untuk mengesahkan SD itu tulen.

“Mereka perlu beri pengakuan terbuka bahawa mereka menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ke-10.

“Tanpa pengesahan daripada MP bukan daripada PN, maka SD itu mungkin telah dimanipulasi untuk mengelirukan orang ramai yang tidak tahu cerita sebenar,” tulisnya.

Semalam, media melaporkan, Muhyiddin menyerahkan dokumen mengandungi 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Akuan Berkanun itu didakwa telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, pukul 1.28 tengah hari, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.

Muhyiddin semalam diambil keterangan hampir sejam oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu perlu meminta maaf kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana pihak istana dikatakan lebih tahu cerita sebenar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI