fbpx

PSG mungkin perlu lupakan UCL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MBAPPE melengkapkan perpindahan ke Real secara percuma selepas menghabiskan tempoh selama tujuh tahun di PSG. - AFP

PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) kini berada dalam situasi genting apabila berkemungkinan dihalang daripada menyertai saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini akibat isu pembayaran gaji yang masih belum selesai dengan bekas bintang mereka, Kylian Mbappe.

Mbappe yang meninggalkan PSG pada musim panas ini untuk bermain bersama Real Madrid, telah beraksi selama tujuh musim bersama gergasi Perancis itu dengan memenangi enam gelaran Ligue 1 dan berjaya membawa PSG ke final UCL.

Meskipun telah meninggalkan Paris lebih dua bulan lalu, Mbappe masih membuat tuntutan terhadap PSG dan pemilik kelab itu, Qatar Sports Investments mengenai pembayaran yang masih belum diterima yang menyaksikan kelab itu berisiko dihalang bersaing di pentas Eropah.

Menurut laporan, Mbappe masih belum menerima bayaran sebanyak €55 juta (RM266.74 juta) termasuk bonus yang bernilai €36 juta (RM174.59 juta) ketika menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun terakhir bersama kelab itu.

Berdasarkan perjanjian, kesemua bayaran tersebut sepatutnya dilunaskan pada Februari, selain tiga bulan terakhir gajinya dari kontrak untuk April, Mei dan Jun masih juga belum dibayar kelab itu.

Mbappe kini telah merujuk perkara tersebut kepada jawatankuasa undang-undang Liga Bola Sepak Profesional Perancis (LFP) dan melalui Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) untuk perhatian Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Penglibatan LFP boleh memberi kesan buruk kepada PSG kerana organisasi itu mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan perpindahan ke atas kelab tersebut serta menarik balik lesen UEFA yang akan mengakibatkan larangan segera daripada bersaing di UCL.

Laporan itu turut menyebut bahawa mana-mana kelab yang mengambil bahagian dalam pertandingan UEFA mesti memberikan bukti bahawa mereka tidak mempunyai tunggakan gaji kepada kakitangan mereka yang perlu dibayar selewat-lewatnya pada 28 Februari sebelum musim lesen. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI