fbpx

PRK DUN Mahkota: UMNO pertimbang calon wanita selain Pemuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika sidang akhbar sempena Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Beberapa calon wanita turut berada dalam senarai pertimbangan bagi mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, bulan depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai akhir belum dimuktamadkan bagaimanapun pihaknya mengutamakan calon yang mempunyai kriteria ‘WALl’ untuk mewakili Barisan Nasional (BN).

Katanya, kriteria ‘WALl’ itu merujuk kepada Winnability (boleh menang), Acceptability (kebolehterimaan) dan Likeability (disenangi).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, mana-mana calon yang akan dimuktamadkan mesti melalui proses pertimbangan yang seadilnya daripada parti.

“Muka baru itu sudah pasti, anak muda atau wanita pertimbangan akan diberikan secara seimbang,” katanya pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyarankan supaya sekali lagi Pemuda diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota di Johor.

Katanya, kejayaan di DUN Nenggiri baru-baru ini wajar dijadikan sandaran apabila parti mencalonkan seorang calon daripada Pemuda iaitu Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Sebelum ini, beberapa calon daripada Pemuda dan Wanita UMNO menjadi sebutan untuk bertanding PRK Mahkota, antaranya Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah dan Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali Shahrol Shiro.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim yang juga bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO turut disebut-sebut akan bertanding di situ.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI