SHAH ALAM – Permodalan Nasional Berhad (PNB) kekal komited dalam menjunjung mandat untuk meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat negara ini.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pihaknya telah mengagihkan dividen sebanyak RM13.3 bilion pada tahun lalu seterusnya menunjukkan kemampuan PNB mengagihkan pulangan kompetetif kepada para pelabur walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar.
Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan pendapatan telah diagihkan sejak PNB ditubuhkan pada tahun 1978 adalah sebanyak RM249.2 bilion.
“Hampir 13 juta rakyat memberi kepercayaan kepada kami dengan simpanan dan harapan mereka. Ini amat kami hargai.
“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus mengekal dan meningkatkan pelaburan bagi meraih pulangan yang lebih baik dalam jangka panjang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, hari ini.
Perasmian tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Arshad, lebih 4.3 juta rakyat negara ini telah mendapat manfaat menerusi penganjuran MSAM sejak tahun 2000 untuk berkongsi ilmu perancangan kewangan dan pelaburan demi meningkatkan tahap ekonomi rakyat.
Ujar beliau, PNB amat menekankan aspek pendidikan dengan sejumlah RM430.1 juta biasiswa telah dianugerahkan kepada 5,857 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Sepanjang tahun lalu, PNB juga telah menyumbang RM6 juta dengan 95 peratus diperuntukkan untuk pembangunan komuniti dan selebihnya untuk pembangunan pendidikan.
“Antaranya, sumbangan bernilai RM5 juta kepada lebih 18,500 penerima dan 60 buah sekolah yang terjejas akibat banjir kilat pada November 2022 dan berterusan hingga Mac 2023,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Arshad berkata, PNB juga membangunkan kawasan komuniti sekitar Menara Merdeka 118 melalui program Geran Komuniti Merdeka 118 untuk meningkatkan kualiti hidup komuniti dan terus menyokong sumber pendapatan dan perniagaan mereka. – KOSMO!ONLINE