fbpx

Permohonan ikat jamin 14 tertuduh culik lelaki Palestin dketahui 3 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 Oktober ini bagi keputusan jaminan ke atas 14 individu yang didakwa menculik lelaki Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy.

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan peguam yang mewakili 14 tertuduh selaku pemohon dan pihak pendakwaan selaku responden.

“Mahkamah menetapkan 3 Oktober ini bagi keputusan jaminan,” kata Hakim Muniandy.

Semasa prosiding, peguam berhujah bahawa anak guam mereka wajar diberikan ikat jamin kerana kes itu tidak melibatkan keganasan, kecederaan dan wang tebusan selain tiga daripada mereka mmepunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Dalam prosiding hari ini, peguam Norma Goh Kim Lian mewakili 10 tertuduh iaitu Mohamad Norakmal Hassan, 43, Dody Junaidi, 44, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41, Mohamad Naziree Mustapha, 41, Faizull Hardey Mohd Isa, 42, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27, Mohamad Sufian Saly, 25, Mohd Zaidi Mohd Zain, 56, Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51, dan Mohd. Azwan Jamaludin, 39.

Sementara peguam Muhammad Amin Abdullah yang mewakili Nidarahayu Zainal, 36, peguam Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan bertindak bagi pihak Raibafie Amdan, 41, Adi Zulkarnain Zulkafli untuk Muhammad Al Hatim Mohd. Fauzi, 25, dan peguam Navinjit Singh bagi Edy Ko’im Said, 42.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Badius Zaman Ahmad dengan tegas membantah sekiranya mahkamah memberikan ikat jamin terhadap 14 tertuduh.

Menurut Badius, jika ikat jamin diberikan kembimbangan pihak pendakwaan adalah tertuduh mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain bertindak melarikan diri.

“Ada (rakaman) televisyen litar tertutup (CCTV) pembuktikan transaksi dan komunikasi. Pihak pendakwaan bukan saja-saja nak tuduh,” kata Badius.

Seramai 14 tertuduh itu didakwa secara niat bersama menahan mangsa untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Mayang di sini pukul 10.40 malam, 28 September 2022. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebatan.

Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan supaya kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 5 Oktober 2022, media melaporkan seorang lelaki Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September tahun sama.

Ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan dalam serbuan berasingan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur pada 29 September 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI