PEMENANG pingat gangsa Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerima durian runtuh apabila mereka bukan sahaja masing-masing membawa pulang sebuah kereta, malah turut menerima imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bernilai RM100,000 setiap seorang.
Jika diikutkan, Aaron-Wooi Yik sepatutnya berkongsi nilai RM100,000, tetapi kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) telah memutuskan bahawa setiap seorang daripada mereka akan diberikan ganjaran RM100,000.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beregu ranking No. 3 dunia tersebut bukan sahaja menikmati imbuhan hadiah SHAKAM, tetapi mereka berdua juga turut menikmati Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) bernilai RM2,000 setiap bulan bermula bulan depan.
“Mereka berdua telah bekerja keras, jadi Aaron dan Wooi Yik masing-masing akan meraih RM100,000 tanpa perlu berkongsi nilai imbuhan tersebut seperti sebelum ini.
“Ini kali kedua Aaron-Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa Olimpik (Tokyo 2020, Paris 2024), jadi Majlis Sukan Negara (MSN) merasakan mereka berhak untuk menerima RM100,000 setiap seorang.
“Menjelang Olimpik seterusnya, saya mengharapkan Aaron-Wooi Yik membawa pulang pingat emas buat negara,” katanya pada majlis penyerahan kenderaan Chery.
Selain Aaron-Wooi Yik, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turut membawa pulang kenderaan utititi sukan (SUV) jenama Chery yang bernilai RM123,800 tersebut selepas meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris.
Hannah berkata, Zii Jia turut meraih RM100,000 menerusi SHAKAM, SITO, malah MSN juga telah menyalurkan dana sebanyak RM50,000 sebelum dia dan pasukannya berlepas ke Olimpik Paris 2024.
“Zii Jia diberi geran RM50,000 sebelum ke Paris dan dia akan diberi tambahan RM100,000 di bawah MSN. Zii Jia juga akan mendapat pencen RM2,000 seumur hidup, mulai bulan depan di bawah SITO,” katanya. – KOSMO! ONLINE