fbpx

Pantas lari, hafaz al-Quran, pointer 3.99 anak Rita Rudaini hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cikgu Muiez ketika bergambar bersama Airit pada kejohanan MSSD beberapa tahun lalu.

PETALING JAYA – Selepas berjaya memecahkan rekod acara 100 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), anak sulung pelakon Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin sekali lagi menuai perhatian netizen dalam media sosial.

Menurut perkongsian seorang guru, Abdul Muiez beliau mendapat tahu mengenai Airit yang sekali lagi berjaya memecah rekod 200m pula pada perlawanan sesi pagi tadi.

“Masa tengah makan tadi, tiba-tiba kawan tag dalam ‘grup’, Cikgu Muiez, Airit Rayyan pecah rekod 200 pula pagi ni.

“Lepas itu dalam ‘grup’ satu lagi pun, kawan tag perkara yang sama. Dah macam wartawan pula saya ini,” tulisnya di Facebook.

Rentetan itu, Cikgu Muiez tampil berkongsi mengenai kehebatan pelajar berusia 15 tahun itu.

“Airit Rayyan Rizqin telah berjaya memecahkan rekod MSSD Sabak Bernam 2024 dalam acara 200m dengan catatan masa 23.81 saat.

“Saya tidak mengenali anak ini secara peribadi. Cuma, pernah bergambar dengannya sewaktu MSSD yang berlangsung di sekolah saya,” katanya.

Tambahnya, remaja itu hebat bukan kerana dia anak artis, tetapi keperibadian dirinya sendiri yang bukan sahaja cemerlang akademik, namun juga seorang penghafal al-Quran.

“Kenapa saya rasa dia hebat? Sebab dia anak artis kah? Oh tidak. Dia hebat kerana dirinya.

“Dia seorang murid yang menghafal al-Quran. Malah dia juga cemerlang dalam pelajaran apabila mendapat gred nilai purata 3.99 dalam peperiksaan semester Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Sungai Besar.

“Selain hebat dalam akademik, Airit juga cemerlang dalam sukan apabila mewakili MRSM dalam permainan bola sepak dan berjaya memecah dua rekod MSSD,” katanya lagi.

Terdahulu, Rita berkongsi rasa bangga apabila anak sulungnya, Airit berjaya memecahkan rekod acara 100m MSSD Sabak Bernam yang memasuki 20 tahun penganjurannya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI