KOMBINASI rasa sambal penyet dan sambal nasi lemak memberikan keunikan pada hidangan nasi lemak panggong.
Juadah itu turut dihidangkan bersama ayam yang diperap bersama rempah rahsia selama seharian sebelum digoreng dengan minyak panas.
Tidak seperti nasi lemak biasa, hidangan paling laris di Luckbros Kopi, Petaling Street, Kuala Lumpur itu turut dihidangkan bersama archa nyonya, kacang dan ikan bilis.
Menurut pengurusnya, Mohamad Zabiq Rosli, keunikan resepi nasi lemak itu menjadi tarikan terbaharu di restoran tersebut.
“Lokasi kedai kami berada di kawasan tarikan pelancong. Jadi, kami berhasrat untuk memperkenalkan masakan lokal kepada mereka.
“Oleh itu, kami mencipta kelainan pada nasi lemak berbanding kebiasaan. Kami tambah sambal penyet dan archa. Alhamdulillah, penerimaannya sangat memberangsangkan. Ini termasuk dengan pelanggan tempatan,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, Luckbros kopi memiliki dua lagi cawangan iaitu di Kota Damansara dan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Selangor.
Restoran tersebut telah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Selain nasi lemak panggong, nasi ayam telur masin turut tersenarai sebagai juadah pilihan pelanggan setia restoran tersebut.
Uniknya, nasi yang dihidangkan merupakan nasi panas biasa berbanding nasi yang direbus bersama stok ayam.
Ini menjadikan keenakkannya tertumpu pada sos telur masin dengan cili merah dan daun kari yang dihidangkan bersama ayam goreng.
Bagi pelanggan yang gemar rasa smokey (seperti dibakar), mereka boleh memesan claypot salted egg chicken chop rice.
Ujar lelaki berusia 29 tahun itu, perbezaan cara masakan memberikan pelanggan peluang untuk memilih makanan yang sesuai dengan cita rasa mereka.
“Setiap pelanggan memiliki selera berbeza. Oleh itu, varieti yang kami sediakan bertujuan memastikan ia dapat memenuhi kehendak pelanggan.
“Ini menyebabkan ramai pelanggan suka datang bersama rakan-rakan atau kaum keluarga,” jelasnya.
Secara keseluruhan, terdapat lebih daripada 15 pilihan makanan yang terdiri daripada nasi, mi, pan mi, yee mi, hor fun dan Indomie.
Seleksi pencuci mulut pula terdiri daripada cendol, air batu campur, blue pea longan, lychee rose dan coconut milkshake.
Tambah Mohamad Zabiq, pihaknya turut menyediakan makanan berkonsepkan do it yourself kepada pelanggan yang mahu masak sendiri.
“Untuk hidangan sizzling ayam atau daging, pelanggan boleh memilih sama ada mahu memasak sendiri atau kami sediakan. Sama juga seperti hidangan cheesy chicken and wedges. Pelanggan boleh masak sendiri di atas meja mereka sekiranya mahu,” katanya.
Setelah puas menjamu selera, pelanggan di cawangan Petaling Street boleh mengambil kesempatan untuk bergambar dengan pemandangan Menara 118.