fbpx

Mpox perlu vaksinasi bersasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEKERJA kesihatan mendidik orang ramai tentang mpox di Goma, DRC pada 16 Ogos lalu. - AFP

GENEVA, SWITZERLAND – Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa mpox tidak boleh dianggap sebagai ‘Covid-19 yang baharu’, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Hal itu kerana pihak berkuasa mengetahui cara untuk mengawal penyebaran wabak yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet itu.

Pengarah Wilayah Eropah WHO, Dr. Hans Kluge berkata, tindakan tegas seperti memastikan vaksin mpox sampai di kawasan yang paling memerlukan, boleh menghentikan satu lagi gelombang panik berhubung wabak tersebut.

Ujar beliau, pakar-pakar perubatan kini tahu cara untuk mengawal mpox tanpa mengira varian, melalui tindakan kesihatan awam tanpa diskriminasi serta akses saksama kepada vaksin.

Virus itu yang menyebabkan demam dan ruam, boleh disebarkan melalui sentuhan kulit ke kulit dengan luka, termasuk semasa melakukan hubungan seks.

“Adakah kita akan dikenakan perintah berkurung di rantau Eropah? Adakah ia satu lagi Covid-19? Jawapannya sudah pasti tidak.

“Dua tahun lalu, kita berjaya mengawal mpox di Eropah. Namun, ia turut menunjukkan kepada kita bahawa wabak itu boleh merebak dengan cepat ke seluruh dunia,” ujarnya.

Pakar itu berkata, kira-kira 100 kes varian baharu, Clade II kini dilaporkan di rantau Eropah setiap bulan.

Dalam pada itu, WHO mengesyorkan vaksinasi bersasar dilakukan kepada kumpulan penduduk di tempat jangkitan mpox menular, lapor agensi berita Anadolu.

Ia tidak mengesyorkan vaksinasi secara besar-besaran dengan alasan bahawa menghentikan penyebaran penyakit itu adalah lebih mudah.

“Kami tidak mengesyorkan vaksinasi besar-besaran. Ia hanya memerlukan vaksinasi yang disasarkan di tempat virus itu menular,” kata jurucakap WHO, Margaret Harris kepada Anadolu dalam temu bual eksklusif.

Menyedari bahawa penyebaran pantas virus itu telah menarik perhatian global, beliau berkata, virus mpox mempunyai dua jenis genetik iaitu Clade 1 dan Clade 2.

Harris bagaimanapun menyatakan kebimbangan terhadap strain baharu virus itu, Clade 1b yang muncul tahun lepas serta telah membunuh 450 orang di Republik Demokratik Congo (DRC).

“Kami bimbang kerana ia merebak dengan sangat pantas. Ia juga mempunyai kadar kematian yang agak tinggi, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, walaupun bilangan kes mpox meningkat di timur DRC, ia kemudian merebak ke Burundi, Rwanda, Uganda dan Kenya.

“Kami melihat kadar kematian yang lebih tinggi. Ia adalah sekitar tiga peratus dan dalam kumpulan yang sangat terdedah seperti kanak-kanak kecil,” katanya. 

Harris selain itu turut menjelaskan bahawa perintah berkurung seperti yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19, tidak perlu dilakukan semasa mengawal wabak mpox.

“Covid-19 merebak sebahagian besarnya melalui udara, sebaliknya mpox menular melalui hubungan fizikal yang sangat rapat.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu ia merebak ke seluruh dunia dan menjadi pandemik kerana sekali lagi, ia akan memberi tekanan kepada sistem kesihatan,” tegasnya. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI