KUALA LUMPUR – “Jangan ada suara-suara yang merasakan kita sudah kuat. Jangan ada yang merasakan kita mampu mengubah sokongan sekelip mata”.
Demikian peringatan yang diberikan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika mengulas mengenai kejayaan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.
“Ya, kita gembira dengan kemenangan di Nenggiri. Namun saya ingin mengingatkan kepada semua, jangan kita lalai dan leka. Jangan kita lupa diri dan berasa selesa.
“Kejayaan yang kita perolehi ini bukan mudah. Kejayaan ini diraih hasil daripada peluh dan lelah.
“Banyak yang kita boleh pelajari daripada kemenangan ini berkaitan dengan strategi kita, pendekatan kita, dan juga semangat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut meminta seluruh jentera dan perwakilan untuk terus bekerja keras dalam memastikan kejayaan yang sama mampu dipertahankan UMNO pada PRK DUN Mahkota akan datang.
“Jangan sesekali kita lupa sejarah. Kita menang bergaya di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Tetapi dalam Pilihan Raya Umum ke-14, kita kehilangan Putrajaya.
“Justeru itu, saya mohon kepada seluruh jentera dan perwakilan, teruslah istiqomah dalam perjuangan dan saya mahu semangat yang sama, kekuatan yang sama, kita bawa ke PRK Mahkota yang akan diadakan tidak lama lagi. Pastikan kerusi Mahkota ini kekal milik kita,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE