CAMERON HIGHLANDS – Sebanyak 138 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang dua hari Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) dilaksanakan di sini.
Ketua Pengarahnya, Aedy Fadly Ramli berkata, operasi yang dilaksanakan semalam dan hari ini itu menyaksikan sebanyak 204 buah kenderaan diperiksa pihaknya dengan 40 daripadanya diambil tindakan.
Katanya, sebanyak 31 buah kenderaan disita manakala seramai 20 orang warga asing yang diambil tindakan.
“Seramai 46 notis dikenakan terhadap pemandu warga asing dan 29 notis pula kepada warganegara melibatkan seramai 63 pemilik kenderaan,” katanya pada sidang akhbar operasi PeWA, di sini hari ini.
Menurut beliau, antara warga asing yang terlibat berasal dari Pakistan, Bangladesh, India dan Nepal berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Pada masa sama, Aedy Fadly berkata, operasi itu secara tidak langsung menunjukkan masih ramai rakyat tempatan memberikan kebenaran kepada warga asing untuk memandu kenderaan dimiliki mereka.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat tempatan agar tidak membenarkan warga asing yang tidak memiliki sebarang lesen atau permit untuk berbuat demikian kerana ia mengundang pelbagai risiko.
“Antara risikonya adalah kemalangan antara warga asing dan pemandu tempatan. Jika mahu beri kebenaran, pastikan mereka (warga asing) memiliki lesen kerana ada (lesen) yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE