fbpx

‘Masalah mental pergi hospital, bukan cari jawapan di TikTok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir menasihati mereka yang berdepan masalah kesihatan mental agar mendapatkan bantuan atau rawatan sewajarnya.

PETALING JAYA – Penyanyi Amir Jahari menasihati individu yang mengalami masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan daripada pihak yang sepatutnya.

Amir atau nama lengkapnya Mohamad Amirullah Jahari, 32, berkata, golongan yang mengalami masalah tersebut cenderung mempunyai pemikiran ke arah negatif dan tidak akan menemui jawapan dalam sosial media.

“Nasihat saya kepada individu di luar sana, jika rasa perilaku diri semakin pelik, tolong hubungi orang terdekat atau dapatkan bantuan daripada MIASA (Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental) atau terus pergi mendapatkan rawatan di hospital.

“Dapatkan bantuan pihak yang profesional tentang masalah mental, sebab pesakit tidak akan jumpa jawapan dalam TikTok atau media sosial.

“Jawapan yang dicari hanya ada pada pakar psikiatri kerana mereka yang lebih faham tentang psikologi. Mereka tahu masalah ini dan boleh bantu anda,” katanya kepada Kosmo! Online selepas pelancaran album terbaharunya, Kembali di sini, semalam.

Tambah pelantun lagu Hasrat itu, dia tidak menolak faktor sekeliling seperti masyarakat ‘judgemental’ juga menjadi punca tercetusnya masalah mental dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Kesedaran berkaitan kesihatan mental, falsafah, pendidikan dan lain-lain, kita masih di belakang. Saya tahu kerajaan juga sekarang banyak melakukan inisiatif ke arah itu.

“Antara salah satu faktor lain yang menyebabkan masalah mental terjadi adalah kerana sosial media juga.

“Generasi muda hari ini juga mungkin terlalu dipaksa oleh ibu bapa mereka untuk terus belajar, jadi apabila sudah dewasa baru mereka berani menunjukkan kesan dan masalah mental,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia juga berharap ibu bapa dapat memainkan peranan mereka dengan memantau keadaan mental anak-anak.

“Zaman sekarang sangat bahaya terutama terhadap kesihatan mental golongan. Ramai orang yang hanya Islam pada kad pengenalan dan belajar di sekolah, tetapi tidak diamalkan dalam hidup (pendidikan Islam).

“Apa pun, semuanya kembali kepada didikan ibu bapa. Jika ibu bapa baik maka anak-anak juga akan mencerminkan perkara sama,” ujarnya.

Sebelum ini, Amir mendedahkan pernah mengalami masalah gangguan mental (kemurungan) yang teruk, sehingga pernah berniat untuk menamatkan riwayat hidupnya sebanyak tiga kali sejak 2018.

Dia bagaimanapun membatalkan hasrat tersebut selepas terbayang wajah beberapa insan penting dalam hidupnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI