fbpx

Lesap RM64,100 sehari diperdaya ‘pegawai bank, MCMC’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KANGAR – Sindiket penipuan ‘phone scam’ di negara ini semakin menjadi-jadi apabila tiga mangsa kerugian kira-kira RM64,100 dalam masa sehari.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, susulan itu, orang ramai dinasihat agar meningkatkan tahap waspada bagi mengelakkan kerugian.

Katanya, pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kes jenayah penipuan ‘phone scam’ daripada mangsa berlainan pada Selasa lalu sehingga kerugian RM64,100.

“Ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 20 hingga 40 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai wakil institusi perbankan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Mereka mendakwa akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sebelum dihubungkan kepada individu mengaku pegawai polis dan diminta memindahkan wang ke satu akaun bank kononnya bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata Yusharifuddin, mangsa dijanjikan wang tersebut akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

“Namun selepas pindahan dibuat, mangsa gagal menghubungi semula individu terbabit dan wang yang dipindahkan tidak dikembalikan.

“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan bagi memburu suspek terlibat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI