fbpx

Leona nekad tinggalkan kerjaya ‘influencer’ selepas berkahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Leona merancang untuk bersara sebagai 'influencer' sebaik sahaja berkahwin dan menjadi seorang ibu kelak.

PETALING JAYA – Sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pempengaruh, Kasih Iris Leona merancang menjadi suri rumah sepenuh masa sebaik berumah tangga dan menimang cahaya mata.

Kata pensohor media sosial itu, dibesarkan ibunya, Chempaka Emalin Pahamin yang sentiasa di sisi membuatkannya melihat insan istimewa terbabit sebagai contoh dalam memastikan seisi keluarga terjaga.

“Saya hanya nak menjadi seorang ibu. Saya nak jadi emak seperti ibu saya. Mungkin ketika itu saya tidak lagi menjadi seorang ‘influencer’.

“Sejak saya kecil bapa saya selalu sibuk dengan kerja, ‘shooting’ dan sebagainya tetapi ibu saya sentiasa ada bersama kami.

“Bukanlah kerana bapa saya sengaja tiada, tapi dia terpaksa bekerja. Jadi atas sebab itu saya sangat mengidolakan ibu saya,” katanya dalam sebuah audio siar.

Anak bongsu kepada pelakon Azhar Sulaiman itu turut mengakui telah memaklumkan hasrat mahu berkahwin selepas tamat pengajian nanti.

Bagaimanapun, wanita berusia 22 tahun yang bakal habis belajar tahun depan masih belum mempunyai kekasih mahupun calon suami.

“Sejujurnya saya memang sudah beritahu ibu bapa saya selepas habis belajar di universiti nanti, saya nak kahwin.

“Ikutkan saya akan habis pengajian tahun hadapan tetapi sampai sekarang saya masih belum ada sesiapa pun lagi.

“Tapi saya selalu berfikir saya dah sedia nak jadi seorang isteri dan ibu bahkan saya tak kisah kahwin pada usia muda,” ujarnya.

Sebelum ini Leona pernah membuat pengakuan belum menemui pasangan hidup kerana meletakkan piawaian tinggi terhadap calon suami.

Begitupun, bukan paras rupa dijadikan ukuran, sebaliknya lebih mengutamakan personaliti lelaki pilihan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI