fbpx

LBS catat hasil RM431.9 juta suku kedua, meningkat 16.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San

PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (“LBS” atau “Kumpulan”), mencatatkan hasil sebanyak RM431.9 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (Q2FYE2024).

Jumlah tersebut adalah hasil yang belum diaudit dan ia meningkat 16.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak RM370.7 juta.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, pertumbuhan itu turut didorong peningkatan 17.3 peratus tahun ke tahun dalam hasil segmen pembangunan hartanah yang mana ia meningkat daripada RM358.1 juta kepada RM420 juta.

Katanya, dengan mengekalkan trajektori kewangan dan operasi pembangunan hartanah yang konsisten, LBS mencapai peningkatan tiga peratus dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) kepada RM34.8 juta daripada RM33.8 juta pada suku kedua tahun lalu.

“Untuk 6 bulan kumulatif pada tahun ini, PATMI diperoleh daripada operasi berterusan dengan peningkatan 1.5 peratus kepada RM66 juta berikutan pendapatan dari operasi berterusan sebanyak RM770.1 juta.

“Segmen pembangunan hartanah merupakan penyumbang hasil utama kumpulan, iaitu sebanyak 97 peratus atau RM747.2 juta daripada jumlah hasil enam bulan pertama tahun ini.

“Sebahagian besarnya diperoleh daripada projek KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Prestige Residence dan Idaman,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hock San berkata, momentum positif pada suku semasa turut dipengaruhi kejayaan pelaksanaan projek-projek LBS yang dilancarkan.

Menurutya, setakat ini, LBS telah melancarkan tujuh buah projek dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.6 bilion dengan jumlah jualan direkodkan sebanyak RM794 juta sehingga semalam.

“Projek Alam Perdana Central Hub, yang dilancarkan pada April 2024 meraih permintaan yang kukuh dan telah menjana jualan sebanyak RM254.5 juta.

“Permintaan ini sebahagian besarnya diperolehi daripada industri perusahaan kecil dan sederhana yang mencari lokasi perindustrian yang strategik untuk menyokong operasi mereka.

“Dengan bank tanah berjumlah 2,686 ekar dan jualan tidak dibil sebanyak RM1.7 bilion setakat 31 Julai lalu, LBS optimis untuk mengekalkan prestasi kukuhnya pada masa hadapan,”ujarnya.

Mengulas lanjut, Hock San berkata, komitmen mereka terhadap pembangunan lestari telah mendapat sambutan positif daripada pihak berkepentingan dan pelanggan.

Malah katanya, usaha berkenaan selari dalam kecekapan operasi dan pengurusan kos memainkan peranan penting untuk mencapai hasil yang positif.

“Kumpulan menjangkakan pelupusan Lamdeal Investments Limited Group termasuk Zhuhai International Circuit akan dimuktamadkan menjelang Oktober.

“Transaksi melalui pemindahan ekuiti dan pembayaran hutang akan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan LBS di mana hasil ini akan diperuntukkan untuk modal kerja, bayaran pinjaman, dan membiayai inisiatif pertumbuhan.

“Langkah strategik ini selaras dengan objektif kami untuk mengekalkan modal bagi pelaburan semula dalam projek-projek yang memberi pulangan tinggi, pembayaran hutang, atau inisiatif penambah nilai,”katanya-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI