SEREMBAN – Segala kos perbelanjaan perjalanan isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor termasuklah tiket penerbangan, makan, minum, serta penginapan ke Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak adalah di bawah tanggungan sendiri dan tidak melibatkan kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, justeru tidak menjadi sebarang kesalahan sekiranya Mustapha merangkap Ketua Kontinjen Negeri Sembilan membawa isterinya ke Sukma di Sarawak.
“Kalau dia bawa dengan perbelanjaan sendiri tiada masalah, itu intergriti kita. Dia duduk sana bukannya sehari, tetapi sepanjang program Sukma berlangsung, apa salahnya bawa isteri dengan perbelanjaan sendiri.
“Jika itu perbelanjaan yang ditanggung dan tiket dibeli sendiri apa salahnya… ia pembakar semangat, yang penting tiket penerbangan di tanggung sendiri dan makan minum pun ditanggung sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Kerjaya Negeri Sembilan 2024 dan Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Negeri Sembilan di sini hari ini.
Aminuddin berkata demikian bagi mengulas mengenai isu tular mengenai Mustapha yang membawa isterinya bersama ke kejohanan Sukma di Sarawak.
Tindakan itu membawa pertikaian sama ada perbelanjaan tersebut menggunakan dana kerajaan negeri termasuk Majlis Sukan Negeri, Negeri Sembilan.
Sementara itu, mengulas mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, yang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat serangan jantung, Menteri Besar berkata, keadaan Datuk Saiful Yazan Sulaiman kini dalam keadaan stabil. – KOSMO! ONLINE