PETALING JAYA – Meskipun setiap hari menerima ratusan permohonan untuk menjadi isteri di media sosial, pempengaruh popular Khairul Aming masih belum terbuka hati untuk mendirikan ruma tangga dalam waktu terdekat.
Jelas Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, fokusnya lebih tertumpu kepada menguruskan perniagaan dan kerjaya sebagai pencipta kandungan buat masa sekarang.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya menerima ratusan mesej (DM) di media sosial dan e-mel resume bertanya untuk menjadi isteri.
“Agak mengejutkan juga, tetapi itulah yang berlaku. Walaupun orang kata seperti perigi cari timba, tetapi saya sangat kagum dengan keberanian mereka untuk bertanya.
“Tetapi sayangnya tuan badan pula yang tidak sempat untuk memikirkan soal pasangan apatah lagi berkahwin,” katanya kepada Kosmo! Online.
Khairul Aming turut memberitahu dia bersyukur apabila keluarga juga tidak mendesak untuk dia segera mendirikan rumah tangga.
“Alhamdulillah keluarga memahami kesibukan jadual kerja saya yang ingin menguruskan kilang, pekerja, produk dan konten.
“Walaupun sebelum ini ada keluarga bertanya, tetapi sekarang mereka serahkan semua itu kepada saya dan sudah mula kurang bertanyakan soalan bila ingin berkahwin,” katanya.
Tahun lalu timbul dakwaan mengatakan dirinya sudah mempunyai kekasih selepas tular sebuah video menunjukkan dia berbual mesra dengan seorang wanita di sebuah kafe.
Khairul Aming bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan wanita terbabit hanya seorang peminat yang ingin merakam video TikTok bersama. – KOSMO! ONLINE