PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyemak semula Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang-Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting bagi membolehkan nama yang tersenarai bawah akta itu ‘dibersihkan’ dan memberikan mereka peluang kedua.
Beliau berkata, pihaknya telah memulakan siri perbincangan dalaman yang dijangka tidak mengambil masa lama untuk ke peringkat seterusnya.
“Hasrat (semakan akta) sebenarnya adalah untuk melihat kembali akta itu sebab nama-nama sudah mencecah tujuh digit.
“Semakan itu penting bagi membolehkan mereka (dalam senarai) diberi peluang kedua. Mudah untuk mereka minta lesen perniagaan, pergi keluar negara dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.
Nama-nama yang tersenarai bawah akta itu termasuk mereka yang terlibat jenayah telah melalui proses jatuh hukuman selain rayuan ditolak. Senarai penama juga terdiri daripada mereka yang disiasat polis namun, tidak dituduh. – KOSMO! ONLINE