JENTERA serangan Terengganu FC (TFC) bakal diperkuatkan dengan import terbaharu, Nelson Bonilla yang juga kapten skuad kebangsaan El Salvador.
Bonilla, 34, yang sebelum ini bermain dengan kelab Thailand, Sukhotai FC diperkenalkan di hadapan lebih 5,000 penyokong tegar skuad Sang Penyu sebelum sepak mula Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.
Penyerang tersebut merupakan penjaring terbanyak Sukhotai FC dengan meledak 12 gol pada musim lalu.
Selain Sukhotai FC, beliau juga beraksi untuk kelab Port FC, Chiangrai United dan Bangkok United di Liga Thailand serta berpengalaman bermain dalam Liga Portugal dan Turki.
Bonilla yang mempunyai 60 kap bersama skuad kebangsaan El Savador yang terletak di Amerika Tengah turut menjaring satu gol pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026, 10 Jun lalu.
Kehadiran penyerang prolifik itu akan memperkemaskan jentera serangan TFC yang kehilangan ayam tambatan mereka, Ivan Mamut akibat kecederaan.
Beliau dijangka membuat penampilan sulung bersama skuad Sang Penyu pada aksi Liga Super menentang Sabah di Stadium Likas pada 15 September nanti.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, sebelum ini berhasrat memperkemaskan pasukannya berikutan ketiadaan Mamut tercedera pada latihan pra-musim, Februari lalu. – KOSMO! ONLINE