PETALING JAYA – Menyedari Remy Ishak dituduh lapar perhatian gara-gara menggayakan subang hidung, isteri pelakon itu, Ezza menangkis dakwaan yang dilemparkan terhadap suaminya.
Ezza atau nama lengkapnya Roszaliza Yusof, 42, berkata Remy tidak memerlukan publisiti kononnya dilakukan demi menaikkan semula namanya yang semakin merudum.
“Alhamdulillah, Allah bagi rezeki dekat kami tak pernah putus. Susah suami saya ini nak dapat cuti.
“Bezanya suami saya susah nak kongsi di media sosial. Semoga Allah permudahkan urusan adik ya,” katanya menerusi hantaran dimuat naik dalam InstaaStory.
Ezza turut menunjukkan tangkap layar komen netizen yang mendakwa Remy tampil dengan imej bertindik pada hidung disebabkan kerjayanya yang semakin hambar.
Dakwa individu itu lagi, tindakan aktor berusia 42 tahun itu berani tampil dengan aksesori tersebut membolehkannya mendapat banyak liputan media.
“Mungkin sebab dah makin sendu, jadi bila buat macam ini baru ada berita ‘naik’ pasal dia,” kata individu terbabit.
Pada masa sama, Ezza berharap orang ramai agar tidak cepat melatah atau mudah jatuh hukum terhadap seseorang.
Bahkan, secara berseloroh dia turut menyatakan suaminya itu sudah memulangkan cincin hidung tersebut kepadanya.
“Cincin itu dia (Remy) sudah pulangkan dekat saya, tenang okey,” ujarnya.
Semalam, Remy atau Mohammad Zalimei Ishak, yang hadir pada majlis pelancaran drama terbaharunya The Secret mengejutkan tetamu apabila muncul dengan imej bertindik pada bahagian hidung.
Remy menyatakan tidak kisah dikecam kerana tampil dengan berbeza, selain mengakui subang yang dipakai itu palsu serta hanya sekadar fesyen. – KOSMO! ONLINE