fbpx

Harimau Malaya tanpa kelibat Faisal Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL tidak berada dalam senarai skuad Harimau Malaya untuk saingan Pestabola Merdeka kali ini.

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengesahkan Faisal Halim masih berada dalam perancangannya pada masa depan meskipun terlepas panggilan kebangsaan sempena Pestabola Merdeka kali ini.

Menurut Pau Marti, semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh Faisal untuk membuat kemunculan kompetitif bersama Selangor FC selepas tragedi malang yang berlaku sebelum ini adalah sesuatu yang membanggakan.

“Kebiasaanya saya tidak akan bercakap mengenai pemain, namun apa yang boleh saya katakan kami bangga dengan Faisal dan saya ada hubunginya secara peribadi baru-baru ini.

“Cuma, saya harap dia berikan fokus untuk kembali mendapatkan minit permainan bersama kelab dan kecergasan sepenuhnya terlebih dahulu.

“Saya pasti pihak kelab (Selangor FC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mencari masa terbaik untuk dia kembali pada masa akan datang,” katanya pada sidang media pemilihan pemain di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pau Marti sebelum ini mengesahkan 26 pemain telah dipanggil pada kem latihan pusat Harimau Malaya bermula 29 Ogos depan dengan 18 tonggak dikekalkan selain tambahan lapan muka baharu.

Mengulas mengenai skuad yang dipanggil kali ini, Pau Marti mengesahkan semua pemain yang dipanggil adalah yang terbaik berdasarkan minit permainan di peringkat kelab dalam Liga Malaysia sebelum ini.

“Saya gembira kerana pasukan kami kali ini merupakan kombinasi pemain muda dan senior. Apa yang penting, hampir 75 peratus pemain yang dipanggil mendapat minit permainan bersama kelab masing-masing,” katanya.

Sebagai rekod, FAM telah menaikkan pangkat Pau Marti yang kini menggalas status ketua jurulatih Harimau Malaya bagi menggantikan pengendali Korea Selatan, Kim Pan-gon yang meletakkan jawatan pada bulan lalu.

Skuad negara akan mengharungi kempen Pestabola Merdeka pada 4 September depan apabila dijadual berdepan Filipina manakala Tajikistan akan bertemu Lebanon di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI