fbpx

Dana RM50 juta galak pelajar IPTA melabur ASNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menyempurnakan simbolik pelancaran penjenamaan logo ASNB di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Dana asas sebanyak RM50 juta disalurkan dalam Inisiatif Celik Madani bagi mengalakkan pelajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian vokasional menyimpan dan melabur dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana awal tersebut disediakan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan syarikat-syarikat berkaitan dengan sasaran adalah 200,000 pelajar setahun dengan nilai permulaan RM50 seorang.

“Kecelikan kewangan itu diperkenalkan menerusi idea rakan-rakan dalam PNB supaya ada minat komitmen untuk melabur, bukanlah RM50,000 kena minta bapa atau hutang.

“Tetapi dimulakan dengan cara realistik yang praktikal yang harus di semua di IPTA dan mungkin dikembangkan ke politeknik dan vokasional.

“Daftar sahaja ke universiti atau kolej terus dimasukkan RM50 untuk menggalakkan saudara tambah sedikit-sedikit dan simpan selama lima tahun tak boleh dikeluarkan.

“Itu disebutkan kecelikan kewangan, pelaburan kerana kadang-kadang kita anggap remeh hal-hal demikian. Mudah-mudahan dengan simpanan tambahan daripada dana asas itu, boleh kita galakkan kefahaman tentang apa erti pelaburan dan jaminan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 serta melancarkan penjenamaan logo baharu ASNB di Pusat Konvensyen Setia City, hari ini.

Anwar percaya setiap universiti dan kolej akan memberikan kerjasama dalam memudahkan program tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada PNB kerana ikhtiar yang terus menerus membela nasib rakyat kerana program ini bukan sahaja program kecelikan.

“Namun, memenuhi suatu kerangka dasar penting dalam negara kita, mengurangkan kesenjangan dalam kalangan kaya dan miskin dan menyelamatkan negara daripada keresahan golongan yang merasakan diri mereka terpinggir,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI