fbpx

Bintang Hollywood DM Fad Anuar, minta turunkan ilmu silat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fad terkejut menerima DM daripada bintang Hollywood, Dennis Mcdonald yang berhasrat untuk mempelajari ilmu silat.

PETALING JAYA – Tanpa dijangka, pelakon Fad Anuar menerima mesej langsung (DM) daripada aktor filem terkenal Bad Boys: Ride Or Die iaitu Dennis Greene Mcdonald yang mahu mempelajari seni mempertahankan diri.

Menurut Fad, 35, Dennis tertarik dengan aksi pertarungan yang dilakonkan sebelum ini sehingga berminat mahu mengaplikasikan seni silat dalam projek terbaharunya.

“Saya dapat DM daripada Dennis sekitar dua atau tiga minggu yang lalu. Mula-mula dia ‘follow’ Instagram saya dan mesej minta saya melatihnya untuk sebuah projek.

“Saya terkejut sebab saya tak ‘follow’ dia sebelum saya tanyakan macam mana dia boleh jumpa Instagram saya.

“Dia cakap sebenarnya mencari seseorang yang mahir dengan seni mempertahankan diri. Waktu itu saya baru selesai dengan filem Geran dan mungkin Instagram saya letakkan tanda pagar silat, jadi dari situ dia terjumpa video saya,” katanya kepada Kosmo! Online semasa tayangan perdana filem Pungut, semalam.

Dalam masa sama, Fad turut memberitahu Dennis bahawa dia akan menjadi pelakon lelaki berkulit gelap pertama yang tampil dengan seni mempertahankan diri orang Melayu ke mata dunia.

TANGKAP layar perbualan anatara Fad dengan bintang Hollywood, Dennie Greene Mcdonald.

“Dia juga ingat saya berada di New York jadi dia ajak saya untuk berlatih bersama tetapi saya cakap yang saya ada di Malaysia.

“Jadi dia tanya bila boleh mula berlatih dan banyak bertanya saya tentang seni langkah yang boleh dia belajar untuk watak bagi projek terbaharunya.

“Saya terus cadangkan dia belajar bersilat sebab kalau dia berjaya buat, dia akan jadi pelakon berkulit gelap pertama di dunia yang melakukan seni mempertahankan diri tersebut,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, aktor Hollywood itu mahu berbincang dengan pihak pengurusan mengenai idea dicadangkan Fad sebelum memasuki set penggambaran.

“Dia bersetuju dengan cadangan saya cuma sekarang ini dia perlu berbincang dulu dengan pengurus dia dan agak sibuk dengan beberapa hal di sana.

“Kalau ada rezeki, bolehlah saya melatihnya nanti. Saya sanggup ke sana mengajarnya kerana mana tahu dapat berlakon satu ada dua babak, berangankan percuma,” ujarnya.

Malah, Fad turut berbesar hati apabila orang luar memandang seni mempertahankan diri Melayu sebagai satu benda yang boleh diangkat ke dunia luar.

“Saya berasa sangat terharu sebenarnya sebab orang luar yang nampak dan seakan menghargai bakat saya.

“Malah, saya juga teruja sebab orang luar berminat nak tahu mengenai adat dan budaya kita sedangkan orang kita kebanyakannya enggan ambil kisah,” tuturnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI