fbpx

‘Biarkan Pas, Bersatu terus berkhayal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ketika Pas dan Bersatu masih berkhayal dengan imaginasi perjuangan masing-masing, UMNO berjaya membina institusi Islam yang konkrit selain berada pada landasan tepat dalam mengangkat Melayu ke persada dunia.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, secara hakikatnya, UMNO tidak perlu membuktikan siapa lebih Melayu kerana parti keramat itu sudah lama berbudi dalam memperjuangkan Melayu sejak sekian lama.

“Dalam masa Pas berkhayal dengan negara Islam yang abstrak, UMNO telah membina institusi Islam yang konkrit – daripada bank Islam hingga universiti Islam.

“Dalam masa Bersatu berkhayal dengan imaginasi perjuangan Melayu versi mereka, UMNO sedang mengangkat martabat Melayu ke persada dunia,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Noraini berkata, kini bukan lagi masa untuk membuktikan siapa lebih Melayu dan ‘juara’ orang Melayu kerana retorik perkauman hanya akan merosakkan masyarakat.

“Kita sering mendengar tuduhan bahawa politik Melayu dan Islam sedang mengalami kemerosotan, bahawa suara Melayu dan Islam semakin dipinggirkan.

“Ada pihak yang mendakwa kerjasama Umno dalam kerajaan perpaduan adalah pengkhianatan kepada bangsa Melayu dan agama Islam. Kita perlu sedar retorik perkauman yang melampau hanya akan merosakkan fabrik sosial masyarakat kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI