CANBERRA – Skuad berbasikal trek Australia sedang mencari jalan untuk mengenakan hukuman keras ke atas Matthew Richardson selepas dia membuat pengumuman mengejut menukar untuk kerakyatan menyertai pasukan Great Britain musim depan.
Keputusan Richardon benar-benar memberi tamparan hebat kepada Australia kerana pelumba berusia 25 tahun itu baru sahaja membantu skuad Australia meraih tiga pingat di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.
Kecewa dengan tindakan tersebut, badan induk sukan berbasikal Australia, AusCycling dikatakan akan mengambil sebarang tindakan sewajarnya terutama mengenai bentuk hukuman ke atas Richardson.
Pengurus Besar Prestasi AusCycling, Jesse Korf berkata, pihaknya sedang melakukan semakan dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Suruhanjaya Sukan Australia (ASC) mengenai hukuman yang boleh dikenakan ke atas Richardson terutama hukuman larangan sebarang kejohanan berbasikal di peringkat antarabangsa selama dua tahun.
“Apa yang pasti, Richardson tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2024 di Ballerup, Denmark pada Oktober nanti.
“Tetapi, mengenai sebarang bentuk hukuman sedang diteliti pada masa ini bersama-sama dengan UCI dan ASC (Suruhanjaya Sukan Australia).
“Kita perlu melakukan perbincangan lebih mendalam kerana ASC adalah pemegang kepentingan yang besar kerana mereka menyediakan banyak pembiayaan dalam sukan ini,” kata Korf.
Dalam pada itu, Richardson mengakui keputusan yang dibuatnya itu akan menimbul rasa tidak puas hati banyak pihak.
“Saya faham bahawa keputusan ini mungkin menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati. Tetapi pada akhirnya, ini adalah mengenai masa depan dan juga karier saya.
“Setiap orang berhak mempunyai pendapat mereka, terpulang kepada saya sama ada saya mahu mendengarnya atau tidak, dan saya telah memilih untuk tidak mendengarnya.
“Ini dunia yang bebas dan mereka boleh melakukan dan berkata apa sahaja yang mereka mahu. Saya gembira dengan keputusan yang saya buat,” ujarnya. – AGENSI