KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mendedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis masih gagal menyerahkan sebarang surat rasmi sebagai bukti beliau telah menyertai Pas sejak Jun, tahun lalu.
Menurut Ab Rauf, UMNO Melaka sendiri sudah menghantar surat kepada Pas bagi mendapatkan pengesahan keahlian Muhammad Jailani, namun masih tiada maklum balas sehingga kini.
“Kedudukan ADUN Rembia sampai hari ini, pihak setiausaha dewan melalui Speaker DUN telah memberi maklum kepada ADUN Rembia supaya menghantar surat dan sijil keahlian Pas secara rasmi ke pejabat speaker yang telah tamat pada 28 Julai lepas.
“Sampai hari ini, kita tidak menerima warkah rasmi daripada Adun Rembia. Apabila tidak ada warkah rasmi selain daripada penerangan yang dibuat sewaktu sidang akhbar, kita memerlukan satu bukti yang menunjukkan bahawa beliau telah menjadi ahli Pas sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Ab. Rauf juga menegaskan bahawa Muhamad Jailani perlu menjawab dan membuktikan bahawa beliau merupakan ahli Pas sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang.
“Kita tunggu sehingga Persidangan DUN berlangsung pada bulan November. Kita perlu menunggu maklum balas dan bukti terperinci.
“Oleh itu, beliau wajib menjawab berkenaan penyertaannya ke dalam Pas sebelum sidang berlangsung untuk speaker menentukan kedudukannya.
“Sebab kalau kita nak ambil tindakan kepada dia sepertimana yang berlaku dalam parti-parti lain, kita kena tunggu jawapan balas dia dan kita akan mengambil tindakan selepas itu,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Muhammad Jailani bagi menuntut bayaran denda RM100 juta tindakan menyertai Pas. – KOSMO! ONLINE