fbpx

ACC: KL City ‘berpeluh’ benam juara Liga Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haqimi Azim meraikan jaringan yang dilakukan ke atas Kaya FC sebentar tadi. - Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) memulakan kempen Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dengan langkah kanan selepas menewaskan wakil Filipina, Kaya FC 1-0 pada aksi pertama Kumpulan B sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Warga Kota yang dikendalikan oleh Miroslav Kuljanac membariskan kesebelasan terbaik dengan Paulo Josue, Haqimi Azim dan Jovan Motika mengetuai jentera serangan.

Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila Haqimi bijak menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-13.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kaya FC yang juga juara Liga Filipina musim lalu memperkemaskan jentera serangan dalam usaha memburu gol penyamaan tetapi tidak berjaya menembusi gawang KL City.

Bersambung pada separuh masa kedua, The City Boys terus garang mengasak pasukan pelawat dan hampir menggandakan jaringan tetapi percubaan Josue berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Patrick Deyto.

Pemain gantian KL City, S. Sharvin turut berjaya melakukan percubaan tepat pada penghujung perlawanan tetapi Deyto sekali lagi cemerlang menepis rembatan tersebut dengan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, dua lagi perlawanan Kumpulan B menyaksikan Cong An Ha Noi menewaskan Buriram United 2-1 manakala Borneo FC melakar kemenangan ke atas Lion City Sailors. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI